Social Icons

Wednesday, 31 December 2014

Kisah Peniaga Jeruk dan Buah-Buahan Campur - Dengan Hanya bermodalkan RM30

Meliur-liur bila tengok gambar di atas. Campuran buah-buahan tempatan siap untuk diulam, terselit sebiji dua asam kelubi atau lebih dikenali sebagai asam payak di Sarawak.  Bukan senang nak dapat buah asam payak ni, kena meredah hutan di tebingan sungai atau mana-mana hutan yang terdapatnya tumbuhan tersebut....

Suatu hari, saya terlihat posting gambar tersebut di dalam facebook mengenai buah-buahan campur dan rojak untuk dijual. Teringin juga nak merasa dan mengikut maklumat di facebook berkenaan, jualan ada di sekitar Promenade Waterfront Bintulu pada hujung minggu dan penghantaran percuma juga boleh dibuat pada hari-hari biasa.

Walaupun idea ini sudah lama dipraktikkan di tempat lain untuk populasi yang besar, tetapi nampak menarik pula untuk sebuah bandar yang kecil. 

Cerita ini sangat memberi inspirasi kepada diriku untuk menulis di sini dan berkongsi cerita dengan kalian. Hati bagaikan dicuit untuk bertanya apakah kisah-kisah disebalik perniagaan jeruk dan buah-buahan yang dijalankan oleh seorang pemuda yang bernama Iss. Mana tidaknya, setiap kali lalu di depan booth jeruknya di Promenade Waterfront Bintulu, hasrat untuk berpatah balik dan membeli buah-buahan yang diidamkan tidak pernah kesampaian. Dengan kata lain..tak pernah sempat, orang lain dah tangkap.
Terima kasih kepada Iss kerana sudi berkongsi cerita dan pengalamannya tentang perniagaan jeruk serta buah-buahan sedia untuk dimakan ini. Mengikut kata Iss, idea ini timbul apabila pokok mangganya serta jiran di sebelah rumah berbuah dan mengeluarkan hasil yang banyak. Jika berlebihan, Iss akan sedekahkan kepada rakan-rakan dan saudara mara. Idea ini juga timbul apabila Iss merasakan ulaman buah mangga yang dicampurkan dengan asamboi ataupun sambal belacan sangat enak dan boleh menjadi sebahagian menu pembuka selera.

"Dari situlah idea untuk menjual jeruk dan buah-buahan segar ini timbul," katanya.

"Saya memulakan perniagaan ini dengan hanya bermodalkan RM30 sahaja. Itupun modal untuk membeli perkakas seperti kontena plastik untuk menyimpan buah, pisau pemotong, sedikit asamboi dan lainnya. Manakala, buah mangga saya petik dari pokok di halaman rumah sahaja."
"Syukur alhamdulillah, perniagaan saya ini berjalan dengan lancar sehingga sekarang. Terima kasih kepada pelanggan-pelanggan yang membeli dan memberi sokongan kepada perniagaan saya,"kata Iss.

Iss memulakan perniagaan jeruk dan buah-buahan segarnya pada bulan Mac 2014 secara kecil-kecilan. Dia juga menyatakan, pada mulanya aktiviti ini adalah untuk suka-suka sahaja dan juga untuk memenuhi masa lapangnya jika 'off' dari waktu kerja.

Pada waktu itu, dia menjual jeruk dan buah-buahan campur ini di sekitar bandaraya Miri dengan melakukan penghantaran percuma kepada pelanggan yang membeli. "Cash on delivery", begitulah konsepnya. Walaupun permintaan pelanggan tidaklah sebaik mana tetapi keseronokan menerima bayaran dari hasil jualan telah membangkitkan semangatnya untuk mencuba market di tempat lain pula. 

Menceritakan pengalamannya sepanjang berniaga buah-buahan dan jeruk ini, Iss tidak terlepas dari bersemuka dan menemui pelanggan yang pelbagai ragam. Pernah juga rakannya yang berada di Kuala Lumpur membuat pesanan kerana terlalu mengidam jeruk dan buah-buahan ini. Ada juga pelanggan hendakkan 'special fruit' yang susah untuk dia tunaikan pada waktu itu. Sungguhpun begitu, dia amat gembira kerana ada sambutan yang mengalakkan dari pelanggan dan mereka tetap dihatinya.

"Signature dish saya adalah Mangga Asamboi Merah. Itulah resipi yang mula-mula saya perkenalkan kepada pelanggan. Selain itu, semuanya dilakukan secara berperingkat," ujarnya.
Kini, setiap pembelian buah-buahan akan disertakan bersama sambal cecah dimana pelanggan boleh memilih sendiri sambal sama ada pedas ataupun tidak.

Walaupun perniagaan ini dilakukan secara kecil-kecilan, Iss mengakui tidak menang tangan dan bernasib baik kerana rakannya Joseph telah membantu sekaligus menjadi rakan kongsinya.

Iss juga menjamin penyediaan jeruk dan buah-buahan campur ini adalah bersih dan halal. "kami amat menekankan tentang kebersihan. Setiap buah-buahan yang sudah dikopek dan dipotong akan kami cuci sebersihnya," katanya.

Perniagaan jeruk dan buah-buahan Iss dan Joseph kini semakin mendapat sambutan dikalangan warga setempat. Tanpa mempunyai kedai, mereka membuat secara kecil-kecilan dari rumah tetapi permintaannya sentiasa diluar jangkaan.

Mereka juga membuat penghantaran secara percuma kepada pelanggan sama ada yang menempah dari rumah mahupun dari pejabat. Malah, tempahan juga boleh dibuat secara online di fanpage Iss Fresh Fruit & Jeruk 

Pada hujung minggu, mereka tidak melepaskan peluang untuk menjual jeruk dan buah-buahan campur mereka di Promenade Waterfront dengan menggunakan konsep car boot sale.

Jika tiada aral melintang, mereka bercadang untuk membuka kiosk jeruk dan buah-buahan campur mereka di sekitar Bintulu. "Buat masa sekarang semua tempat yang diinginkan tiada kekosongan dan kami masih lagi mencari tempat yang sesuai," kata Iss.

Cerita yang sangat memberi inspirasi walaupun mereka hanya peniaga kecil-kecilan. Semangat kena ada!! Terima kasih Iss kerana sudi berkongsi cerita dan saya ucapkan selamat maju jaya. Sikit-sikit lama-lama menjadi bukit....

Thursday, 18 December 2014

Jana Wang Dari Rumah Tanpa Sebarang Modal Untuk Newbie - Affiliate & Dropship

Inilah antara kaedah perniagaan yang paling 'HOT' ketika ini dan penyelidikan demi penyelidikan dilakukan oleh mereka yang berminat hendak memulakan kerja dari rumah melalui program affiliate dan dropship semakin meningkat.  Mana tidaknya, apabila headline seperti di atas menjadi tarikan dan susah mahu ditolak jika tidak dibaca sehingga habis..bukankah begitu?

Kepada Newbie/orang yang masih baru..
Kepada newbie yang ingin memahami program yang menarik ini kenalah faham dahulu maksud kedua-dua ini; affiiate & Dropship. Apabila ia sudah difahami maksudnya, maka anda akan menjadi lebih teruja untuk memulakan program ini. 

Affiliate bermaksud : "Menjual dan memasarkan produk orang lain" dan anda akan mendapat komisen dari jualan tersebut. Di dalam konteks affiliate, anda hanya mempromosikan produk tersebut sama ada dari laman blog anda, laman sosial seperti twitter atau facebook dan sebagainya. Anda akan diberi link affiliate anda dari website tersebut untuk anda promosikan. Tetapi sebelum itu, anda kena mendaftar terlebih dahulu serta verify email anda kemudian barulah dapat mempromosikan link affiliate tersebut.

Produk affiliate tersebut boleh jadi dalam bentuk software, barang fizikal, keahlian, tempahan hotel, newsletters registration atau sebagainya.

Banyak website yang menawarkan program affiliate dan ada juga di antara mereka menawarkan komisen sehingga 75% dari hasil jualan. Menarik bukan? Tidak rugi untuk memulakan kerja dari rumah dengan menyertai program affiliate.

Untuk menyertai program affiliate ini memerlukan tools dan usaha yang sangat ringkas serta mudah. Anda hanya perlukan laman web sendiri untuk memuatkan link affiliate ataupun laman sosial pun boleh digunapakai sekiranya ianya bersesuaian.

Dropship bermaksud : hampir sama juga maksudnya "Menjual dan memasarkan produk orang lain" dan mendapat komisyen atau untung sendiri dari jualan tersebut. TETAPI, secara praktikalnya adalah berlainan. Untuk program dropship, produk yang terlibat adalah dalam bentuk fizikal dan penghantaran akan dilakukan oleh syarikat atau individu yang menawarkan program tersebut. Anda hanya perlu mempromosikan produk tersebut di laman sosial ataupun secara offline (offline contohnya; menjual kepada rakan-rakan atau sanak saudara secara face to face dengan menunjukkan katalog produk tersebut) 

Untuk dropship juga, sekiranya ada tempahan, anda akan membuat pembayaran harga dropship kepada penganjur serta memberikannya nama serta alamat pembeli. Penghantaran akan dilakukan penganjur dan pembeli tidak menyedari barangan tersebut adalah dari penganjur.

Program dropship lebih mudah difahami melalui carta seperti di bawah:-


Kedua-dua idea ini amat sesuai untuk suri rumah yang ingin bekerja dari rumah dan tidak mempunyai sebarang modal untuk perniagaan. Daripada membuang masa melihat status di dalam fb, suri rumah boleh menjana wang sampingan jika masa dimanfaatkan dengan program sebegini sambil menjaga anak-anak... 

Thursday, 11 December 2014

Cabaran

Memegang jawatan sebagai suri rumah penuh ini membuat diri ini lebih tabah dan kuat walaupun ada kalanya rasa kekecewaan sekali sekala. Itu adalah kebiasaan, lumrah kehidupan tak kira di mana kita berada. Mana tidaknya, cabaran dan tanggungjawab yang dipikul sepanjang masa tak ubah bagaikan waktu bekerja di pejabat suatu ketika dulu. Tiada istilah kerja dah siap kerana tanggungjawab sebagai suri rumah tiada berkesudahan. Sememangnya suri rumah layak juga dimartabatkan sebagai isteri berkejaya. Tak percaya? Mungkin ada diantara anda jikalau kita mengisi mana-mana borang secara online khususnya, terdapat satu 'column' kerjaya yang anda scroll nanti akan ada 'Housewife' ataupun 'Suri Rumah'. Jikalau isi borang fizikal pun kita akan letak dibahagian kejaya 'Suri rumah'
Sepanjang saya menjadi suri rumah, banyak yang telah saya lakukan untuk mengisi masa lapang. Sekali sekala mencuri masa yang terluang melayari laman web dan berfacebook serta membuat kerja-kerja online.  Tidak ketinggalan juga saya kerap mengikuti kerja-kerja komuniti yang dianjurkan di sekitar bandar ini sebagai aktiviti sosial saya.

Sepertimana suri rumah yang lain, menjaga anak dan menguruskan rumahtangga bukanlah suatu kerja mudah dan tidak pula sesukar mana. Tapi saya amat faham di hati masing-masing jikalau boleh..ingin juga mempunyai pendapatan sendiri. Begitu juga saya...di zaman moden ini, semuanya bagaikan tak cukup. Keperluan seharian semakin hari semakin mendesak untuk kita mencari mana-mana peluang untuk menjana kewangan.  

Saya pasti kita semua pernah jatuh dan gagal.  Kerana inilah kehidupan yang tak ubah bagaikan roda, ada kalanya kita di atas dan adakalanya di bawah. Jika tiada kegagalan maka kita tidak akan belajar. Ada juga manusia dilahirkan bertuah..semua benda menjadi. Tetapi itu semua hanya sementara, kerana suatu hari nanti Tuhan mungkin akan tarik balik keistimewaan itu bila-bila masa. Yang penting sekali usaha dan terus mencuba dan jangan putus asa.  Tiada perkara yang memewahkan kita dalam hanya satu malam. Inilah pengalaman saya secara umumnya. Jika terdapat peluang di luar sana, tanyalah hati adakah itu kemahuan kita sebenar? Sanggupkah ada pengorbanan? Adakah si suami merestui? Masing-masing punyai jawapannya. 

Saturday, 1 November 2014

Crochet Baby Hat

Crochet Baby Hat sangat mudah untuk dibuat dan juga sesuai untuk pemula. Topi ini dibuat ketika bayi saya berumur 6 bulan dan ia sangat selesa kerana menggunakan benang milk cotton.

Crochet Headband with diagram

Terlalu lama sudah tidak menjenguk dan menulis dalam blog. Bukan disebabkan ketiadaan idea tetapi masa yang terlalu cetek untuk diluangkan di laman blog. Ada juga saya ambil kesempatan sedikit masa cuba mengasah balik bakat crochet ataupun lebih dikenali seni mengait. Yang ringkas-ringkas pun tidak mengapa asalkan dapat melatih jari jemari yang kian mengeras. 

 

Do you need Translator?

Pelawat


 
UA-58368323-1