Social Icons

Wednesday 31 December 2014

Kisah Peniaga Jeruk dan Buah-Buahan Campur - Dengan Hanya bermodalkan RM30

Meliur-liur bila tengok gambar di atas. Campuran buah-buahan tempatan siap untuk diulam, terselit sebiji dua asam kelubi atau lebih dikenali sebagai asam payak di Sarawak.  Bukan senang nak dapat buah asam payak ni, kena meredah hutan di tebingan sungai atau mana-mana hutan yang terdapatnya tumbuhan tersebut....

Suatu hari, saya terlihat posting gambar tersebut di dalam facebook mengenai buah-buahan campur dan rojak untuk dijual. Teringin juga nak merasa dan mengikut maklumat di facebook berkenaan, jualan ada di sekitar Promenade Waterfront Bintulu pada hujung minggu dan penghantaran percuma juga boleh dibuat pada hari-hari biasa.

Walaupun idea ini sudah lama dipraktikkan di tempat lain untuk populasi yang besar, tetapi nampak menarik pula untuk sebuah bandar yang kecil. 

Cerita ini sangat memberi inspirasi kepada diriku untuk menulis di sini dan berkongsi cerita dengan kalian. Hati bagaikan dicuit untuk bertanya apakah kisah-kisah disebalik perniagaan jeruk dan buah-buahan yang dijalankan oleh seorang pemuda yang bernama Iss. Mana tidaknya, setiap kali lalu di depan booth jeruknya di Promenade Waterfront Bintulu, hasrat untuk berpatah balik dan membeli buah-buahan yang diidamkan tidak pernah kesampaian. Dengan kata lain..tak pernah sempat, orang lain dah tangkap.
Terima kasih kepada Iss kerana sudi berkongsi cerita dan pengalamannya tentang perniagaan jeruk serta buah-buahan sedia untuk dimakan ini. Mengikut kata Iss, idea ini timbul apabila pokok mangganya serta jiran di sebelah rumah berbuah dan mengeluarkan hasil yang banyak. Jika berlebihan, Iss akan sedekahkan kepada rakan-rakan dan saudara mara. Idea ini juga timbul apabila Iss merasakan ulaman buah mangga yang dicampurkan dengan asamboi ataupun sambal belacan sangat enak dan boleh menjadi sebahagian menu pembuka selera.

"Dari situlah idea untuk menjual jeruk dan buah-buahan segar ini timbul," katanya.

"Saya memulakan perniagaan ini dengan hanya bermodalkan RM30 sahaja. Itupun modal untuk membeli perkakas seperti kontena plastik untuk menyimpan buah, pisau pemotong, sedikit asamboi dan lainnya. Manakala, buah mangga saya petik dari pokok di halaman rumah sahaja."
"Syukur alhamdulillah, perniagaan saya ini berjalan dengan lancar sehingga sekarang. Terima kasih kepada pelanggan-pelanggan yang membeli dan memberi sokongan kepada perniagaan saya,"kata Iss.

Iss memulakan perniagaan jeruk dan buah-buahan segarnya pada bulan Mac 2014 secara kecil-kecilan. Dia juga menyatakan, pada mulanya aktiviti ini adalah untuk suka-suka sahaja dan juga untuk memenuhi masa lapangnya jika 'off' dari waktu kerja.

Pada waktu itu, dia menjual jeruk dan buah-buahan campur ini di sekitar bandaraya Miri dengan melakukan penghantaran percuma kepada pelanggan yang membeli. "Cash on delivery", begitulah konsepnya. Walaupun permintaan pelanggan tidaklah sebaik mana tetapi keseronokan menerima bayaran dari hasil jualan telah membangkitkan semangatnya untuk mencuba market di tempat lain pula. 

Menceritakan pengalamannya sepanjang berniaga buah-buahan dan jeruk ini, Iss tidak terlepas dari bersemuka dan menemui pelanggan yang pelbagai ragam. Pernah juga rakannya yang berada di Kuala Lumpur membuat pesanan kerana terlalu mengidam jeruk dan buah-buahan ini. Ada juga pelanggan hendakkan 'special fruit' yang susah untuk dia tunaikan pada waktu itu. Sungguhpun begitu, dia amat gembira kerana ada sambutan yang mengalakkan dari pelanggan dan mereka tetap dihatinya.

"Signature dish saya adalah Mangga Asamboi Merah. Itulah resipi yang mula-mula saya perkenalkan kepada pelanggan. Selain itu, semuanya dilakukan secara berperingkat," ujarnya.
Kini, setiap pembelian buah-buahan akan disertakan bersama sambal cecah dimana pelanggan boleh memilih sendiri sambal sama ada pedas ataupun tidak.

Walaupun perniagaan ini dilakukan secara kecil-kecilan, Iss mengakui tidak menang tangan dan bernasib baik kerana rakannya Joseph telah membantu sekaligus menjadi rakan kongsinya.

Iss juga menjamin penyediaan jeruk dan buah-buahan campur ini adalah bersih dan halal. "kami amat menekankan tentang kebersihan. Setiap buah-buahan yang sudah dikopek dan dipotong akan kami cuci sebersihnya," katanya.

Perniagaan jeruk dan buah-buahan Iss dan Joseph kini semakin mendapat sambutan dikalangan warga setempat. Tanpa mempunyai kedai, mereka membuat secara kecil-kecilan dari rumah tetapi permintaannya sentiasa diluar jangkaan.

Mereka juga membuat penghantaran secara percuma kepada pelanggan sama ada yang menempah dari rumah mahupun dari pejabat. Malah, tempahan juga boleh dibuat secara online di fanpage Iss Fresh Fruit & Jeruk 

Pada hujung minggu, mereka tidak melepaskan peluang untuk menjual jeruk dan buah-buahan campur mereka di Promenade Waterfront dengan menggunakan konsep car boot sale.

Jika tiada aral melintang, mereka bercadang untuk membuka kiosk jeruk dan buah-buahan campur mereka di sekitar Bintulu. "Buat masa sekarang semua tempat yang diinginkan tiada kekosongan dan kami masih lagi mencari tempat yang sesuai," kata Iss.

Cerita yang sangat memberi inspirasi walaupun mereka hanya peniaga kecil-kecilan. Semangat kena ada!! Terima kasih Iss kerana sudi berkongsi cerita dan saya ucapkan selamat maju jaya. Sikit-sikit lama-lama menjadi bukit....

No comments:

Post a Comment

 

Do you need Translator?

Pelawat


 
UA-58368323-1